by Qaseh2u Azalee

Cara Allah berbicara mengenai Nabi Ibrahim dalam al-Quran tak sama dengan yang lain dalam al-Quran. Dan Allah uji dan beri cabaran kepada Nabi Ibrahim tak seperti Allah uji dan beri cabaran kepada para nabi dan rasul yang lain. Setiap ujian dan cabaran baginda sahut serta penuhinya. Dan ibadah korban bukan untuk memperingati betapa hebat Nabi Ibrahim semata-mata tetapi lebih kepada apa yang boleh kita hubungkan dengan kehidupan seharian kita.

-Ustadh Nouman Ali Khan

 

KENAPA KITA MERAYAKAN HARI RAYA AIDUL ADHA?

 

Setiap tamadun dunia mempunyai perayaan tertentu. Malah, setiap negara di seluruh dunia merayakan perayaan yang berkaitan sejarah dianggap penting untuk diingati. Contoh mudah, hari ini adalah Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60. Hari memperingati pengorbanan perajurit dan rakyat berjuang mendapatkan kedaulatan negara.

 

Hari Raya Aiduladha juga adalah perayaan berkaitan dengan sejarah. Sejarah pengorbanan teragung Nabi Ibrahim meninggalkan beberapa legasi sebagai panduan buat kita. Legasi yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam perlu diulang dan dihadam setiap tahun.

 

Di sini saya simpulkan khutbah Ustadh Nouman Ali Khan kepada 3 fasa umur yang menunjukkan kepatuhan yang tiada ragu-ragu beriman Nabi Ibrahim kepada Allah sebelum sampai kepada kemuncak pengorbanan yang merupakan sebab kita merayakan Hari Raya Aiduladha:

 

1.     SEORANG REMAJA

Zaman remaja adalah zaman di mana para remaja berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk diterima rakan sebaya supaya mereka menjadi sebahagian daripada kumpulan mereka. Kalau keluar shopping pasti memilih pakaian yang kena dengan trend masa kini supaya tidak ketinggalan atau dicemuh ‘bagaikan kata di bawah tempurung.’ Kalau tak guna ejaan bahasa budak Wechat atau gaya ravers memang tak up-to-date dikutuknya.

Tapi jalan yang dipilih oleh Nabi Ibrahim amat berbeza dengan rakan sebaya baginda ketika itu. Nabi Ibrahim mencabar kepercayaan masyarakat baginda.

Tunggu!

Lagi hebat lagi Nabi Ibrahim mencabar ayahnya si pembuat patung berhala?!!! Ayah yang membesarkan baginda malah baginda sangat sayangkan ayahnya. Buktinya baginda memanggil ayahnya dengan panggilan:

Ya Abati.” (Wahai, ayahku yang ku kasihi)

Jap, tergamam sebentar.

Nabi Ibrahim yang masih muda ketika itu berhadapan dengan sang ayah yang dikasihi yang melakukan pekerjaan membuat patung sembahan. Nabi Ibrahim mendahulukan apa yang betul, adil serta kebenaran berbanding rasa cinta kepada ayahnya dan itu tak memberhentikan tindakan baginda untuk menyatakan kebenaran. Istilah my parents my elders bukan penghalang bagi Nabi Ibrahim yang masih muda belia. Keberanian baginda membawanya kepada dibakar dalam maraknya api dengan langkah gagah penuh tawakal kepada Allah.

Kita taklah diuji dalam humbanan maraknya api bila menyatakan kebenaran. Paling kurang kita akan dihujani panahan api dari keyboard warrior.

 

2.     SEORANG SUAMI

Ujian Nabi Ibrahim berterusan apabila baginda sebagi seorang suami yang mempunyai isteri dan bayi diperintahkan Allah untuk meninggalkan mereka di tengah padang pasir yang kontang. Tiada jiran tiada air! Air zam zam ditemui selepas Nabi Ibrahim berlalu pergi.

Begitu juga kehidupan kita di masa sekarang. Kadang-kadang takdir rezeki masing-masing terpaksa berjauhan dengan keluarga. Jumpa sebulan sekali kadang-kadang sebulan bersama keluarga kemudian sebulan di negara orang tanpa ditemani keluarga.

Begitu juga seperti pelarian Syria yang terpaksa berpisah bukan dengan kehendak diri kerana situasi yang mendesak berlaku perpisahan yang tak dipinta.

Apa yang baginda buat adalah tawakal kepada Allah dan tidak merungut, “Ya Allah, kenapa aku Kau uji seperti ini?” “Tak patut Kau buat kami berpisah seperti ini.” Apa yang baginda buat adalah PERFECT TAWAKAL 200%.

 

3.     SEORANG BAPA

Apabila baginda Nabi Ibrahim pulang ke pangkuan keluarga dan Nabi Ismail sudah remaja, baginda diuji lagi dengan kasih sayang seorang bapa kepada anaknya. Ketika Nabi Ibrahim remaja, baginda diuji dengan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya. Bukan sebarangan ujian, ini ujian yang paling berat, jantung bisa luruh!

Nabi Ibrahim kerap bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail! Lalu Nabi Ismail berkata kepada bapa kesayanganya, “Buatlah seperti apa yang diperintahkan.”

Sayu.

Kisah pengorbanan ini menjadi saksi bahawa dalam menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan, ada satu masa kita terpaksa meletakkan risiko kepada keluarga sendiri demi menyahut seruan perintah Allah. Contoh dalam kehidupan kita, sesetengah orang diuji dengan harta yang banyak tapi tidak halal namun kerana patuh dan cinta kepada Allah maka ditinggalkan segala kekayaan. Mahu tidak mahu kita adalah hamba-Nya dan milik-Nya.

Kerana pengorbanan teragung baginda ini, Nabi Ismail ditukar dengan seekor kibash lalu pengorbanan ini menjadi satu ibadah.

 

Oleh: AhmadAzalee ABakar

 

anaedar_azalee
About anaedar_azalee
IBADAH KORBAN: 3 FASA UMUR PENGORBANAN NABI IBRAHIM